Thursday, 31 March 2022

TERSADAI

Tersadainya sebuah kapal
di pesisiran pantai,
Ombak yang ganas memaksanya
ketepi,
mendendangkan lagu sedih menghiris hati.

Tersadainya sebuah kapal
di pengkalan tua
laut tak berombak
pesisir kian meninggi
menjadikannya lesu dan terbiar.

Tersadai,
tersadailah kapal kapal
ombak dan pasir jiwa melara harap
punah impian seutuh angin.



Wednesday, 30 March 2022

MERANGKAI KUNTUM DOA BERSAMA

Saban musim yang dijejaki bersama
mewarnai memori di kaki pengalaman
ada sketsa bianglala di langit ingat
segalanya melorong kematangan.

Suriku...
agar hujan yang pernah membasahi
kita payungi dengan batas tafsir
agar gelora yang pernah membadai
kita bentengi dengan waras fikir.

Mari kita rangkai kuntum kuntum doa
menyatu cita cita luhur
memanjangi hajat
kita hiasi hayat dengan bunga mesra
mekar santun mewangi rasa
merimbun bahagia..












KATAKANLAH

Katakanlah bahawa aku
sudah tidak punya waktu lagi
untuk memikir dan
membicarakan persoalan
yang tidak bisa terungkai lagi
dan mungkin kian kusut kini.

Dan katakanlah jua
bahawa pertemtangan hajat
takkan bisa mengukir hasrat
pada suatu gemersik angin damai
kerana senyum sinis hanya persis
lewat sebuah tanda tanya baru.

Sedang bulan berwajah pucat
dan bintang tersipu malu
insan sepertiku terharu
dinihari masih gelap 
dan panjang.






Sunday, 27 March 2022

AKU, SEEKOR BURUNG DAN KUCING

Anak burung
yang dulu kau lepaskan itu
kini menyanyi
di luar sangkarmu.
Anak burung yang dulu
bernyanyi nyanyi di luar sangkar itu
kini terluka
diterkam kucing kemanjaanmu. 
Kucing yang dulu
mengesel ngesel tubuhnya dikakimu
kini sednag mengasah
kuku dan taringnya.
Kini aku sudah menyiatkan
kulit mukaku
sedia disiat cakar
dan kerkah kucing kemanjaanmu. 



 

 

Thursday, 24 March 2022

PAGI

Pagi... lembut dan wangi
tak datang lagi
menghias hari
cantik berseri.

Pagi... lembut dan wangi
telah mati
terkubur diri
kejam dan keji.

Pagi pun jadi dalang
ganas dan liar
mencakar menggigit
keayuan hilang.

Pagi pun jadi kejam
menjahanam dan membunuh
kehidupan panjang
musnah hitam.





HARAPAN

Seperti bulan kelabu akhir November.
Seperti langit dilukai redup awan.
Adalah aku ...
yang menadah harap
di atas hamparan simpati
yang kian menipis
di bawah bayang
cermin kotaraya.

Melihat wajahmu
akupun jadi lupa
pada hari semalam
yang terluka.

Ros, aku sayang padamu.




Tuesday, 22 March 2022

TELUK KETAPANG

Telah ku sedut wangi laut
di sebuah pantai lena
aku mendongak ke langit
di sini laut lengang.
Segalanya mati
pantai yang pemalu
perahu yang tertambat
bisik angin
dan kita pun terasing.
Teluk Ketapang
aku tidak berbicara
dan engkau tidak menyahut.








Monday, 21 March 2022

MASIH HARUMKAH LAGI

Masih harumkah lagi
kuntum kembangan janji
yang wujud di pohon
rindumu.
Pun masihkah
ada harapan
kalau ingin kupetik
biarpun kini
jauh di hijau bukit.







 

Sunday, 20 March 2022

LELAKI DI PESISIRAN

Di matanya ada matahari hidup
yang masih bersinar
dalam deru dan gelisah harinya.

Dalam matanya
ada tirai langit
yang masih membiru
dalam kelabu dan resah hidupnya.

Seakan baginya
jalan ini tak berpenghujung
antara cekal dan sabar.
Dia adalah camar
tak pernah takut pada gelombang.
Dia adalah karang
tak pernah bimbang pada taufan.

Di matanya 
ada bintang mengerdip
dalam kelam dan sulit perjalanannya.

Dialah lelaki
tak akan luka kakinya
dek sejuta cabar
dan rentetan duga.



Friday, 18 March 2022

PEREMPUAN DALAM PUISI

Bunga mekar
yang ingin disinggahi
oleh sang kumbang
waktu pagi.

Rimbunan pohon
hijau dan merendang
manis buahnya dan ingin dipetik
oleh lelaki yang haus dan dahaga
di perjalanan petang.

Pelabuhan sepiang dipagari neon gemerlap
menarik tiap kapal
untuk singgah berlabuh
serta melepas penat
di waktu malam.




Thursday, 17 March 2022

KALAU NANTI

Kalau nantinya
aku tersungkur lagi di dadamu
buaikanlah lagu-lagu simfoni.
Kalau nantinya
aku melewati kamar hatimu
bukakanlah jendela kesudianmu
untuk aku menyaksi senyum manismu.
Kalau nantinya
langkahku tersimpang jauh
berilah aku kompasmu
untuk aku menuju ke destinasimu.


         










Wednesday, 16 March 2022

MUSIM BERLALU SEPI

Siapakah yang akan manyapa
memberi perkhabaran baru
pada aku yang sendiri di daerah ini.
Musim remaja 
berlalu dengan sepi
sedang usia semakin dewasa
dalam Percaturan masa.
Kau tahu
aku sentiasa membiarkan masa silam
meniris di jalur kenangan
dan melihat segalanya menjadi satu
dalam buruan waktu.
Kau tahu
aku sentiasa membiarkan ingatan itu
menghijau bagai daun-daun rimbun
dan melihat semuanya gugur
satu persatu dimamah waktu.
Pun begitu
aku...
masih di sini menantimu.
 
 

 



Tuesday, 15 March 2022

DAERAH PELARIAN

Menjejaki daerahmu
mencabar aku
untuk terus berlari
di antara batas-batas waktu
menembusi benteng kehidupan.
Disini kutemukan
sebuah kerobohan
di atas sejuta kejayaan
yang menjadi kejelikan
atas dasar kemaknusiaan.
Di sini ku temukan
secebis rasa simpati
atas segunung penderitaan
lantas tertutup sebuah penipuan
atas setitik kebajikan.
Dan kini
aku tersedar dari lamunan
bahawa senyuman yang kutemukan
hanyalah kepalsuan
daripada seraut wajah kehampaan.



 

SIANGKU MALAMKU

Siang itu sunyi
kerana segala perlakuanku
semata-mata untuk mengisi kekosongan
tanpa makna walau bersuara.
Malam itu sibuk
mengejar wajtu sekelumit cuma
untuk menikmati ketenangan abadi
dikala mimpi bertandang
mengusir jauh resah yang bersarang.
Siang nanti termangu
cuba memanggil malamku
yang kian berlalu.
Sang mentari menggamit diri
menghadiahkan sunyi buatku...





Sunday, 13 March 2022

KERESAHAN

Relakan aku
membuka segala keresahan
yang selama ini ku simpan
begitu rapi di kamar jemuku
pada janjimu
sepantas angin malam
hingga tak tercapai
digenggaman yang kerdil.

Relaikanlah ikatan itu
yang pernah kita simpulkan
di penjuru kerelaan
kerana keterbatasan waktu
tidak memungkinkan untukmu
terlalu lama melayari
duniaku yang kian bungkam
dan akupun terlalu cemas
dalam kepuraanmu.



Saturday, 12 March 2022

AKU DAN RINDU

 Tika rindu datang
aku masih di sini
menanti di penghujung sepi.
Aku rindukan senyuman hari-hari lalu
seperti musim dingin
ada camar bercanda.

Tika rindu datang
kuluruhkan daunan kering
umpama seekor camar
sendirian di langit terbentang.

kini aku pergi
dari erti sebuah sepi
tinggal pelabuhan.
Namun.. rindu pasti datang.





Friday, 11 March 2022

NOSTALGIA TAK TERCATAT

 Angin barat telah bertiup
memupuk kenangan
membawanya jauh.
Sedang kita masih di tambatan ini
mengutip teritip di perbatuan
yang berlari pantas
meninggalkan kita termengah-mengah.

Masihkah engkau lagi
atau aku yang paling setia
emnunggu ribut ini
bilakah redanya.

Ombak dan laut
pantai dan pohon rimbun
atau camar yang menongkah angin
adalah kita di sini
memaknakan sebuah kehidupan
yang tak terlaksana.

Kini segalanya sudah teradun
menjadi warna pelangi
bakal tidak dikenalpasti.
Apakah ini sesungguhnya ingatan
atau inikah kenangan
yang tidak dicatatkan.






Thursday, 10 March 2022

PUISI INI

Puisi ini
Salam buat perempuan terpilih.

Suaramu yang lembut manja
telah membunuh resahku.

Matamu yang jernih mesra
telah membakar kalbuku.





Friday, 4 March 2022

RINDU SEORANG PENYAIR

 
Apalah ada pada sebuah nama
apalah jua pada secebis puisi
apalah pada sekeping kertas.

Apakah itu satu idaman
Bagi penyair yang penuh kerinduan
yang bersenandung di dinihari
menyambut embun dan bayu syahdu.

Apakah hanya dengan rindu
menjadi idaman seorang penyair
yang merindu dengan syair-syairnya
merasa bahagia dengan kepuasan
yang mengalir di segenap jiwa
apabila menatap bait-bait puisinya.














Thursday, 3 March 2022

RAHSIA KATA

Ku penjarakan kata
di ruang makna.
Kata yang ku pilih
dari deruan angin.
Ku petik dari titisan hujan
Ku pungut dari kelabu kabut.

Lalu makna dan kata pun ku asah
menjadi mata belati
mengugut diriku sendiri.





Wednesday, 2 March 2022

BARANGKALI AKU SUDAH BOSAN

 BARANGKALI AKU SUDAH BOSAN

 

Kerna janji sering menunda arus
aku lebih enak di pantai ini
melihat awan melepas sayap camar
atau deburan ombak
menyerah harum pada mentari.

Antara mereka yang menanti
aku lebih senang
menyaksi perahu petang
pulang ke pantai
dan senja malarikan igau
ke lain pengkalan
tanpa harap.

Barangkali menyusur begini
lebih waras
dari membingit ingat
kerna hidup diwarkahkan
menyusun tenang
disebalik cakar dan igau.

Kalau puisiku
nantinya kehilangan kata
barangkali aku sudah bosan
memintal salam antara kita
sedang sesudahnya hanya kacau
antara lapisan ombak.








Sentuhan rasa,
Sayuti

ARAFAH

  HAJIKU - SAAT ALLAH MEMELUK ERAT, AIR MATA DUKA TERLERAI  Dengan jari yang sedikit menggigil, aku membuka aplikasi itu. Dan di sana—terpam...